Ujian Harus Dijalani

Adalah setiap manusia itu tidak terlepas dari terkena ujian. Inilah perjalanan yang sudah menjadi ketetapanNya. Hanya ada dua jalan di dalam ujian, yakni menempuhinya ataupun meninggalkannya. 

Ketahuilah ujian tidak akan berhenti seumur hidup ini. Tidak kira seseorang memilih untuk menjalaninya ataupun lari darinya. Jika diri memilih untuk lari dari ujian, maka fahamilah, perbuatan itu hanya membuat masalah bertambah kerana tidak ingin akur dengan ketetapan yang telah diberi olehNya.

Antara bahagian dari sifat ujian adalah ia menimbulkan keraguan, menimbulkan rasa takut, mencetekkan kemampuan akal untuk menilai dengan baik, mengurangkan rasa yakin kepadaNya, dan menambah fikiran-fikiran negatif.

Ketahuilah, sebenarnya ujian itu bertujuan menghapus dosa-dosa, membuang sikap-sikap buruk, membuahkan sifat-sifat baik, dan mengangkat kedudukan di sisiNya. Hakikat daripada ujian adalah memuliakan manusia selayaknya dirinya sebagai makhluk paling mulia diciptakan oleh Yang Maha Esa.

Namun, bukanlah kemuliaan itu yang dikejar, tetapi pertemuan denganNya itulah yang diinginkan. Maka, jalanilah setiap ujian mahu berbentuk zahir atau ujian hati demi menjadi hamba yang patuh kepada setiap kehendak Maha Pencipta.

Fahamilah, walau diri sangat lemah dan tidak kuat, tetapi Dia akan menjaga dan membimbing. Yakinlah pada penjagaanNya. Yakinlah pada rezekiNya. Tunduklah pada pengaturanNya. Fahamilah hakikat hidup adalah agar diri menjadi makhluk yang faham dan berkelakuan selayaknya seorang hamba dengan sebenar-benar keikhlasan.

Comments

Popular Posts